• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Zon Industri Bebas Perlu Diwujudkan Bagi Sektor Pembuatan

KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri perlu  mengkaji untuk mewujudkan kawasan zon industri bebas untuk sektor pembuatan di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata zon ini sangat penting untuk mengelakkan pengenaan cukai kepada setiap proses nilai tambah pengeluaran. 

"Sebagai contoh, satu produk perlu melalui lima proses pengeluaran. Tanpa zon ini, setiap peringkat pengeluaran akan dikenakan cukai. Harga barang akhir akan menjadi lebih mahal. 

"Dengan adanya zon ini, cukai hanya dikenakan sekali sahaja iaitu apabila ia keluar dari zon ini. Dengan syarat semua pengilang untuk kelima lima proses tadi berada dalam zon ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurutnya, zon-zon ini mampu merancakkan pertumbuhan sektor pembuatan sebagai fokus baharu di Terengganu.

"Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan menyatakan bahawa Peneraju pertumbuhan utama bagi Selangor, Pulau Pinang dan Kedah adalah sektor pembuatan iaitu 13.1 peratus, 12.4 peratus dan 6.2 peratus," tambahnya.