• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Zuraida Gesa Pembaikan Cerun Flat Bukit Kecil Disegerakan

KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Pembaikan runtuhan cerun berhampiran Flat Bukit Kecil perlu diambil langkah yang segera oleh pihak kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memohon pembaikan cerun dilaksanakan secepatnya oleh pihak berwajib, bukan sekadar siri lawatan dan tinjauan sahaja.

"Beberapa siri lawatan yang lain juga telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah lawatan dari pihak universiti awam untuk melakukan kajian berkaitan pembaikan cerun atau ‘slope repair research’," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Menurut Zuraida lagi, satu insiden runtuhan cerun telah berlaku pada malam 15 Disember 2022 di sekitar BLOK A, B dan E Flat Bukit Kecil.

"Kejadian yang telah berlaku hampir dua tahun lalu ini melibatkan 87 unit rumah kediaman dengan anggaran jumlah penduduk seramai 348 orang.

"Pada 16 Disember 2022 runtuhan kedua telah berlaku di lokasi yang sama. Runtuhan cerun ini berlaku adalah lanjutan daripada jumlah taburan hujan yang agak tinggi pada masa tersebut.

"Pelbagai agensi telah melawat tempat kejadian bermula pada tarikh 16 Disember 2022 iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) , Bomba dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," ulasnya lagi.