Khidmat Malaysia Anjur Dapur Rakyat Ringankan Beban Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Sebanyak 82 agensi berkaitan dari Negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan berhimpun di Primula Beach Hotel, hari ini bagi menjayakan Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024 Zon Timur.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia yang berperanan sebagai agensi utama dalam urus tadbir data negara dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Banci Pertanian 2024 selama tiga bulan bermula Julai tahun hadapan.
“Data-data dalam bidang pertanian ini adalah data yang sangat penting untuk kita merangka dasar serta merancang pembangunan.
“Justeru data yang berintegriti daripada peringkat paling bawah sampai ke peringkat paling atas diperlukan untuk tujuan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024 Zon Timur di Primula Beach Hotel, hari ini.
Katanya, sektor pertanian, penternakan, perikanan, perladangan serta perhutanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi untuk Pantai Timur ini menjadi fokus utama dalam sesi libat urus banci pertanian kali ini.
“Dalam merancang satu pelan tindakan yang betul kita perlukan ketepatan data. Dan data-data ini perlu melalui satu proses kajian yang teliti, pungutan dapatan daripada lapangan dan sebagainya sebelum dirangkumkan.
“Seterusnya, barulah boleh kita lihat daripada setiap sektor ini, dimana maklumat yang kita perlu dan inilah bank data yang diperlukan oleh kerajaan dan rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, banci pertanian kali terakhir dilakukan pada tahun 2005 dan kemungkinan data-data pada tahun tersebut sudah tidak valid sekarang ini.
“Adalah satu langkah yang tepat pihak Jabatan Perangkaan Malaysia melakukan banci untuk bidang pertanian secara menyeluruh yang merangkumi semua sektor dan kelompok masyarakat.
“Daripada dapatan banci pertanian 2024 nanti, Insyaallah kita akan dapat satu data perangkaan yang berintegiri dan tepat yang akan jadi bank data untuk kita merancang pelbagai agenda pembangunan negeri dan negara khususnya dalam usaha kita memperkukuhkan sektor keterjaminan makanan,” jelasnya.