• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

93 Regu Pamer Libasan Di Piala MB Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos- Lebih 90 pasukan tempatan dan luar negeri turun mempamerkan kehebatan masing-masing dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Menteri Besar Terengganu yang membuka tirainya di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memaklumkan, sebanyak 22 regu dan pasukan ternama dari seluruh tanah air akan merebut hadiah kejuaraan bernilai RM5,000 dalam kejohanan selama tiga hari itu.

“Serentak itu, akan turut berlangsung Piala Exco Sukan, Belia Dan NGO Terengganu yang mendapat penyertaan daripada 71 regu dalam negeri.

“Selepas sahaja Sepak Takraw League dan Piala Tun Ali yang baru tamat di Melaka, kita tidak terkecuali untuk duduk sebaris dengan kejohanan-kejohanan ini apabila menampilkan kejohanan antara berprestij setanding peringkat kebangsaan.

“Piala yang dipertandingkan ini juga antara acara sepak takraw terbesar dilangsungkan dalam negeri setakat ini, kerana kita membuka enam gelanggang serentak sepanjang kejohanan berlangsung,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan dan tajaan, serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam kerjasama melancarkan penganjuran kejohanan.

“Selain itu, terima kasih juga kepada syarikat Proeight, Gajah Emas, Faiza, Paijang Sports dan tidak lupa kepad Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu atas tajaan dan sokongan,” ujarnya.

Penganjuran tersebut menurutnya, turut membuka ruang dan peluang kepada penggiat sukan takraw tanah air untuk datang ke Terengganu, bukan sahaja semata-mata bersukan tetapi juga melancong.

“Kejohanan ini boleh menjadi salah satu daripada sukan pelancongan, ajak keluarga melancong di negeri Terengganu dan dalam masa sama kita memperhebat industri sukan.

“Kita yakin dan percaya kejohanan ini akan mengembalikan kegemilangan industri sukan sepak takraw Terengganu,” katanya.

Kejohanan Piala MB Terengganu merupakan kejohanan terbuka menampilkan penyertaan regu-regu dari seluruh negara dan menawarkan hadiah utama bernilai RM5,000.

Manakala, Piala Exco menampilkan bakat-bakat tempatan di seluruh negeri Terengganu dan menawarkan hadiah utama bernilai RM1,000.

Kedua-dua kejohanan ini berlangsung serentak bermula hari ini sehingga 27 Ogos ini. 


Tag: