• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Belanjawan 2021 : Belanjawan Kita Semua - MB

KUALA TERENGGANU, 7 November – Kerajaan Terengganu menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam adalah ‘belanjawan kita semua’.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bajet bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' telah mengemukakan matlamat, strategi dan inisiatif yang merangkumi semua isu dan segmen masyarakat.

“Saya percaya, belanjawan ini adalah hasil daripada pendekatan yang inklusif dan strategik oleh kerajaan melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk merentas semua negeri dan parti politik.

“Secara ringkasnya, kita dapat melihat usaha Kerajaan memelihara kebajikan rakyat melalui pengawalan dan pencegahan COVID-19, pengukuhan aliran tunai isi rumah, jaminan peluang pekerjaan, serta menjana semula sektor ekonomi dan perniagaan yang telah terkesan teruk. 

“Dalam masa yang sama tidak meninggalkan usaha memperkasakan agenda Bumiputera dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jambatan Sungai Marang.

Menurut Ahmad Samsuri, belanjawan tersebut juga menumpukan inisiatif kepada golongan yang berpendapatan rendah dan terjejas terutamanya golongan B40, termasuklah  kepada peniaga kecil, petani, nelayan dan pelbagai kelompok kecil sektor ekonomi.   

“Begitu juga dengan kesinambungan pelaksanaan inisiatif pembangunan infrastruktur kemudahan dan fasiliti dalam menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” jelasnya.

Katanya lagi, pihaknya mengucapkan terima kasih atas pengumuman untuk menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang.

“Saya juga menyeru rakyat Terengganu, untuk mengambil manfaat daripada pelbagai inisiatif Belanjawan 2021, terutamanya dalam menjamin kesejahteraan hidup, kelangsungan perniagaan, dan ketahanan ekonomi rakyat,” tambah beliau.
 


Tag: