Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 2 Julai – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas bagi menyiasat insiden letupan paip gas di Putra Heights yang berlaku pada 1 April lalu.
Gesaan tersebut dibuat susulan laporan siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang menyimpulkan bahawa tiada unsur kecuaian atau pelanggaran teknikal dikenal pasti.
Laporan itu menyatakan punca utama letupan adalah disebabkan oleh faktor geoteknikal seperti tanah lembut, sekali gus menolak kemungkinan berlakunya sabotaj atau kecuaian manusia.
Namun menurut beliau, maklumat awal daripada pihak polis mendedahkan bahawa terdapat kerja pengorekan paip kumbahan hanya 30 meter dari lokasi kejadian.
"Kerja tersebut melibatkan jentera berat termasuk sebuah excavator yang turut terbenam dalam letupan. Lebih membimbangkan, kawasan tersebut berada dalam zon larangan saluran paip gas, menjadikan aktiviti tersebut satu pelanggaran nyata terhadap peraturan keselamatan.
“Anehnya, laporan JKKP langsung tidak menyentuh aspek ini. Malah, identiti pemaju dan kontraktor yang terlibat juga masih belum didedahkan secara rasmi. Ini hanya menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha menyembunyikan pihak yang bertanggungjawab,” ujar beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Amzad turut mempersoalkan ketelusan dan ketelitian siasatan JKKP yang seolah-olah mengabaikan faktor gangguan luaran, sedangkan pemasangan saluran paip gas bertekanan tinggi sepatutnya melalui kajian geoteknikal menyeluruh dan mematuhi spesifikasi teknikal ketat.
“Saluran paip ini diselenggara secara berkala dan dipantau berterusan. Teknologi yang digunakan bahkan telah diuji di kawasan yang jauh lebih mencabar seperti dasar laut Terengganu, namun tidak pernah berlaku insiden seumpamanya. Maka, dakwaan bahawa tanah lembut adalah satu-satunya punca kejadian adalah sangat meragukan,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan letupan tersebut bukan semata-mata insiden teknikal tetapi satu pelanggaran serius terhadap undang-undang dan keselamatan awam.
Katanya, pemaju dan kontraktor yang menandatangani perjanjian pembangunan wajib tampil memberi penjelasan kepada rakyat.
"Tindakan mengalihkan kesalahan kepada pihak lain termasuk PETRONAS adalah sangat tidak wajar," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan sikap membisu Kerajaan Negeri Selangor yang sepatutnya memainkan peranan dalam melulus dan memantau sebarang pembangunan di kawasan sensitif seperti itu.
"Kelemahan dalam aspek kelulusan permit, penguatkuasaan zon larangan dan pengesanan aktiviti pengorekan hanya menyerlahkan kelemahan kawal selia negeri.
“Tiada maklumat rasmi dikeluarkan berhubung identiti pihak terlibat atau perkembangan siasatan. Sikap berdiam diri ini menggambarkan kegagalan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran negeri,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Bebas yang melibatkan pakar kejuruteraan, geoteknik dan perundangan yang berkecuali bagi menyiasat insiden ini secara menyeluruh dan telus.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran dan memastikan setiap pihak yang bersalah dipertanggungjawabkan tanpa pengecualian. Laporan penuh JKKP dan maklumat berkaitan perlu didedahkan kepada umum. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” tegas beliau.