• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

JHEAT Sentiasa Pantau Kewujudan Ajaran Sesat di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 23 April- Ajaran sesat seperti Ajaran Mohib Khouli, Ajaran Kanzun Makhfiyyan dan ajaran-ajaran lain yang telah diwartakan kerajaan negeri Terengganu melalui Jabatan Mufti Terengganu sentiasa dipantau Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) bagi memastikan ia tidak diamalkan oleh masyarakat negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya ia disebarkan mengikut Seksyen 10 (Menghina atau Mengingkari Pihak Berkuasa Agama) dan Seksyen 12 (Pendapat Yang Bertentangan dengan Fatwa) oleh PPS.

"Kita diperingkat kerajaan negeri sangat serius memandang isu yang berkait dengan ajaran sesat ini supaya umat Islam di negeri ini terpelihara akidah mereka.

"Sebagaimana kita sedia maklum, ajaran sesat Ayah Pin pernah menggemparkan negara kita. Kita menerima laporan dan juga kerisauan masyarakat tentang ajaran ini dihidupkan kembali.

"Untuk makluman, ia telah diwartakan sesat pada tahun 1997, kemudian setelah kematian Ayah Pin ajaran ini tidak aktif lagi. Tindakan telah diambil antaranya untuk memberikan kesedaran kepada bekas-bekas pengikut dan pihak penguatkuasaan juga sentiasa berwaspada sekiranya sebarang kemungkinan yang timbul ajaran ini dihidupkan kembali," katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, di samping adanya seksyen dan undang-undang untuk kerajaan negeri mencegah ajaran-ajaran sesat, kegiatan dakwah seperti kuliah dan pengajian agama juga dijalankan begitu aktif dalam memberi kesedaran kepada umat Islam supaya berwaspada daripada ajaran-ajaran ini," katanya.

 

 

 

 


Tag: