Berita :
Terengganu Salur Hampir RM21 Juta Kepada Sekolah Agama
Terengganu Salur Hampir RM21 Juta Kepada Sekolah Agama
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
90

KUALA TERENGGANU, 22 April - Kerajaan Terengganu menyalurkan hampir RM21 juta kepada sekolah agama rakyat di negeri ini sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 bagi menyokong operasi serta pembangunan institusi pendidikan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, jumlah keseluruhan bantuan yang disalurkan dalam tempoh itu ialah RM20,941,500.

Menurutnya, bantuan tersebut melibatkan beberapa skim, termasuk Dana Skim Al-Ghazali serta bantuan secara one-off kepada institusi pendidikan Islam swasta (IPIS).

“Bagi Dana Skim Al-Ghazali, jumlah peruntukan pada tahun 2023 adalah sebanyak RM5,210,840, diikuti RM5,141,110 pada 2024 dan RM5,114,550 pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan RM15,466,500,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini. 

Satiful berkata, bantuan 'one-off' kepada IPIS pula melibatkan RM2.74 juta pada 2024 dan RM2.735 juta pada 2025. 

Katanya, bantuan itu membabitkan 135 institusi bagi setiap tahun pada 2024 dan 2025, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM5.475 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan negeri turut merancang membina Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di Rantau Abang pada 2030 bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam di kawasan berkenaan.

Menurutnya, perancangan pembinaan SRIDI Rantau Abang akan dimulakan dengan penyediaan laporan pelukis pelan serta mendapatkan pandangan jabatan teknikal pada 2026.

“Seterusnya pada tahun 2027, proses melibatkan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan dilaksanakan termasuk perizaban tanah di bawah Seksyen 62 serta penyediaan Pelan Akui dan pewartaan,” katanya.

Menurut Satiful, setakat ini sebanyak 12 SRIDI telah ditubuhkan di seluruh Terengganu dengan empat daripadanya sudah beroperasi di tapak kekal, manakala lapan lagi masih menggunakan tapak sementara.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan