• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

JPKK Perlu Lebih Peka Keperluan Mangsa Banjir

DUNGUN, 27 Disember- Semua pimpinan masyarakat perlu lebih peka terhadap kebajikan rakyat setempat yang memerlukan bantuan dalam tempoh sukar ketika ini.

Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, tanggungjawab itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang penduduknya turut terkesan susulan banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu.

 "Kita harap semua kawasan JPKK yang terlibat dengan banjir dapat memastikan penduduk di kawasan mereka berada dalam keadaan selamat dan bersiap sedia jika berlaku sebarang kemungkinan ketika musim tengkujuh ini. 

"Marilah sama - sama kita doakan semoga Allah S.W.T jauhi kita dari bencana banjir selepas ini, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama Ketua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dan Bukit Besi. 

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan tersebut, Wan Hassan berkata, ianya bertujuan untuk mendapatkan laporan mengenai keadaan semasa yang berlaku di PPS di DUN masing-masing.

"Makluman laporan yang diterima dari Bukit Besi adalah mengenai pemotongan elektrik yang terpaksa dilakukan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas faktor keselamatan di beberapa kampung iaitu Kampung (kg) Kuala Jengal, Kg Rantau Panjang, Kg Minda, Kg Talong dan Kg Tepus.

"Bagaimanapun, bantuan generator telah di hantar oleh TNB, " ujarnya.

Sementara itu katanya, laporan dari Rantau Abang pula memaklumkan, keadaan ketika ini terkawal.

"Cuma penduduk setempat masih berwaspada oleh kerana pada malam ini dijangka air pasang besar, " ujarnya. 


Tag: