• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

KPDNHEP Ganding Bahu Laksana Operasi Kawal Harga

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berganding bahu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam melaksanakan operasi mengawal kenaikan harga barang.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kawalan tersebut dikuatkuasakan bagi menjaga kepentingan kepenggunaan rakyat.

"Tujuan lawatan ke KPDNHEP ini adalah untuk mengetahui berkenaan isu rungutan harga barang yang tinggi di Terengganu berbanding dengan negeri lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lawatan kerja ke Pejabat KPDNHEP di sini baru-baru ini.

Menurutnya, kementerian tersebut merupakan perantara untuk saluran aduan rakyat.

“Saluran untuk dapat taklimat berhubung dengan gerakan kepenggunaan (consumerism) supaya rakyat tahu hak mereka dan tidak mudah ditipu,” jelas Yahaya.

Beliau menambah, lawatan tersebut sudah menjadi tradisi badan legislatif dan setakat ini pelbagai jabatan serta agensi kerajaan sudah dilawati bagi mendapatkan maklumat secara langsung (first hand) tentang isu-isu dibangkit dan disuarakan oleh rakyat.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, beliau turut menerangkan fungsi dan peranan KPDNHEP dalam menguatkuasakan undang-undang dan melindungi kepentingan pengguna serta mewujudkan peniaga yang beretika.

“Saya amat berbesar hati menerima lawatan kerja ini dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambah beliau.
 

 


Tag: