• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Misi Bina Dua Rumah Dalam Tiga Hari Berjaya

KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Dua buah keluarga mangsa banjir di Kampung Insaf, Lanchang menerima kunci rumah baru setelah pembinaan semula kediaman mereka yang dihanyutkan banjir selesai sepenuhnya pada 7 Februari lepas. 

Misi tersebut diketuai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negeri Terengganu, Prihatin Anak Watan Terengganu bersama Gong Tok Nasek (GTN) Care di bawah “Misi Bina Rumah 3.0”. 

Seramai 110 sukarelawan yang diketuai Asmawi Mukhtar berkampung di sana siang dan malam berlungkus-lumus ‘bertukang’ sehingga pembinaan selesai.

Mohd Khairul Anuar Hamid, 35 dan isteri, Sharifah Hasyimah Syed Hashim merakamkan penghargaan buat semua sukarelawan dan pihak terlibat yang membantu menyiapkan kediaman buat mereka sekeluarga selepas dihanyutkan arus banjir.

“Saya sebagai tuan rumah nak mengucapkan terima kasih terutama kepada sukarelawan dari Terengganu, penyumbang, NGO, PAS Lanchang dan semua yang menyiapkan rumah ni dalam tiga hari.

“Saya memang tak mampu nak balas jasa semua ni. Saya bersyukur sangat. Hanya terima kasih yang mampu saya ucap,” tambahnya. 

Sementara itu, Arman Mohd Jaafar, 44, seorang lagi pemilik rumah hanyut banjir menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada sukarelawan atas keprihatinan buat mereka.

“Saya bersyukur kerana masih ada tempat berlindung lagi hasil tenaga saudara semua yang saya tak kenali pun.

“Saya doakan saudara saudari sekalian diberi kesihatan tubuh badan yang baik untuk terus membantu orang lain,” ujarnya lagi.

Majlis serahan kunci dan solat hajat disempurnakan Yang Dipertua PAS kawasan Temerloh, Jusoh Darus.

Kisah pembinaan itu tular selepas rumah yang dibina mereka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hari sahaja.


Tag: