• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Polis Kemaman Rampas Dadah Bernilai RM1.71 Juta

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai RM1.71 juta dianggarkan rampasan terbesar di Terengganu bagi tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik memaklumkan, melalui Ops Mega yang dilaksanakan pada 8 Jun itu, pihak polis telah berjaya menangkap tiga lelaki berbangsa Melayu dan seorang wanita Melayu dalam dua serbuan berbeza sekitar jam 5.30 pagi hingga 12.30 tengahari di sebuah rumah tidak bernombor di Kemasik, Kemaman.

“Pada serbuan pertama, kita berjaya merampas sejumlah dadah jenis Heroin, Syabu dan pil kuda bernilai RM1.05 juta serta wang tunai berjumlah RM63,318.

“Pihak polis juga merampas sepucuk pistol tiruan jenis Beretta daripada salah seorang suspek dan menyita sebuah kereta jenis Honda Civic milik mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) PDRM Terengganu, hari ini.

Jelasnya, susulan kejayaan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah lagi rumah di kawasan sama dan berjaya menahan seorang wanita serta menjumpai 3710 gram tongkol mampat Heroin, 15.44 gram Syabu dan 1,400 pil kuda dianggarkan bernilai RM252,916.

“Sindiket ini dipercayai mengedarkan dadah berkenaan di sekitar Terengganu dan Pahang serta mereka turut dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket yang ditumpaskan di Hulu Terengganu, baru-baru ini,” katanya.

Kesemua suspek berumur antara 20-an sehingga 40-an itu didapati positif Methaphetamine dan kini direman selama tujuh hingga 14 hari untuk siasatan.


Tag: