• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Subsidi Upah Dilanjut, Usahawan Terus Bernyawa

SETIU, 30 September - Ahli Parlimen Setiu menzahirkan rasa syukur apabila cadangan bagi melanjutkan Program Subsidi Upah yang telah dijalankan dibawah skim PENJANA dilanjutkan tempoh pendaftarannya.

Menurut beliau, syarikat kecil dan pengusaha Industri Kecil Serdahana (IKS) yang mendaftar selepas 1 April akan dapat menarik nafas lega dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN atau KITA PRIHATIN baru-baru ini. 

"Kenyataan Perdana Menteri beberapa hari lalu yang melanjutkan tempoh pendaftaran sekali lagi membuktikan Kerajaan benar-benar prihatin dan serius dalam memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan sasar.

"Saya yakin program yang menelan kos sehingga RM2.4 billion mampu memberi harapan baru terutama kepada usahawan-usahawan atau peniaga dari Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat pandemik," ujar beliau dalam satu kenyataan media semalam.

 Shaharizukirnain juga meminta agar pihak majikan mendaftar syarikat mereka agar dapat menikmati bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan ini.  

"(Saya) menyeru kepada semua majikan terutama usahawan PKS agar segera membuat pendaftaran dan menggunakan peluang kedua yang diberikan kerajaan sebaik mungkin agar bantuan ini betul-betul dapat dinikmati oleh segenap masyarakat," jelasnya.

PSU adalah salah satu usaha kerajaan bagi syarikat-syarikat mengekalkan pekerja dan membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh krisis COVID-19.