UMT Perkenal Program AI Bantu Pelajar Kuasai Teknologi

KUALA NERUS, 6 Mac- Dalam usaha beradaptasi dengan arus kemodenan dunia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak langkah memperkenalkan Program Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan kepada seluruh warga institusi tersebut.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim, ia merupakan satu usaha dengan menyahut seruan kerajaan untuk memastikan setiap warga memiliki kemahiran dalam AI.

"Kami telah memperkenalkan subjek atau modul AI ini kepada semua pelajar dan ia menjadi kursus wajib sebelum mereka bergraduasi. Mereka perlu mahir mendalami ilmu berkaitan AI bahkan, ia bukan sahaja kepada pelajar sahaja, tetapi untuk staf juga.

"Untuk itu, kita akan melaksanakan subjek ini secara wajib bermula semester akan datang (Oktober). Buat masa ini, kita cuma buat secara elektif dahulu yang kita tawarkan secara 'micro credential', jadi bila-bila masa sahaja pelajar boleh mengikuti program tersebut secara dalam talian.

"Untuk staf pula, program ini sudah bermula melalui bahagian bakat staf yang kita perkasakan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 yang membawa tema 'Memperteguh Kebersamaan ke Arah Universiti Marin Terkemuka' di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini.

Tambahnya, semua staf merentasi kumpulan akademik atau sokongan akademik, profesional dan sokongan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu yang diperkenalkan .

"Program latihan AI akan diperluaskan melalui modul-modul latihan yang lebih berstruktur dan berasaskan tahap. 

"Pendekatan ini memberi peluang kepada lebih ramai staf untuk menyertai program latihan dalam meningkatkan kemahiran dengan mengaplikasi teknologi AI dalam urusan kerja sama ada pentadbiran atau pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. 

"Latihan ini bertujuan memberi pendedahan AI dalam bidang yang lebih spesifik, seperti pendidikan adaptif, pengurusan pintar dalam universiti, dan analisis ramalan untuk membantu perancangan strategik," katanya.

Dalam pada itu, UMT telah menyasarkan sebanyak lapan tumpuan dan 45 strategi yang perlu dilaksanakan seluruh warganya bagi tahun 2025 bertujuan mengangkat UMT sebagai Universiti Marin Berfokus.

Banyak perkara yang dirancang antaranya untuk menyokong kriteria Universiti Marin Berfokus seperti menawarkan program akademik yang baharu berkaitan industri marin.

"Contohnya ialah Sarjana Muda Pengurusan Perkapalan dan Pelabuhan, Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, dua program yang dicadangkan untuk ditawarkan bagi mengukuhkan institusi ini sebagai universiti marin," katanya.


Tag: