• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Usaha AADK Wujudkan 'Komuniti Tanpa Dadah' Disambut Baik

SETIU, 23 Februari–Kerajaan melalui  Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Setiu melalui  program 'Cakna Komuniti Tanpa Dadah' merupakan suatu usaha yang baik bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan komuniti di daerah terbabit.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd kadir berkata, inisiatif yang diadakan oleh agensi berkenaan berupaya memberi kesedaran kepada masyarakat awam khususnya golongan muda agar tidak terjebak dengan gejala negatif yang merupakan isu utama dalam negara pada ketika ini. 

"Umum tahu kesannya boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan fizikal, mental, emosi dan tingkah laku jadi langkah yang diambil melalui program seumpama ini perlu dilakukan secara berterusan serta diperbanyakkan lagi bagi  memberi kesedaran kepada seluruh agar menjauhi perkara yang mendatangkan kerugian kepada negara.

"kita juga turut berharap agar mereka yang pernah terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah ini  serta Orang Kena Pengawasan (OKP) kembali ke pangkal jalan dan benar-benar insaf dengan menjadikan kehidupan sudut gelap itu sebagai pengajaran dan sempadan serta berusungguh-sungguh berusaha tidak akan mengulangi lagi kesilapan itu lagi.

"Jangan putus asa, perlu yakin bahawa segala kesalahan itu akan diampuni Allah setelah kita betul-betul ingin kembali kepada jalan Allah serta benar-benar bertaubat,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan di Gelanggang Futsal Kampung Bukit Pelong, di sini, semalam.

Program yang dianjurkan itu melalui kerjasama  diantara AADK Setiu, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Buluh Hulu diisi dengan pelbagai aktiviti dimana pertandingan futsal yang melibatkan kumpulan yang diwakili oleh klien pengawasan AADK Setiu, Kakitangan AADK Setiu dan wakil dari komuniti turut diadakan. 


Tag: