• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

10 Anggota Polis Terengganu Ditahan Kerja

KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Seramai 10 anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang ditahan dalam Op Selendang, Jumaat lalu dikenakan perintah tahan kerja bermula petang semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa memaklumkan, seramai 14 anggota dan pegawai kanan yang bertugas di dua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan peringkat kontinjen negeri itu direman secara berperingkat selepas disyaki terlibat menganggotai pertubuhan haram dikenali Ayahanda Harimau Kumbang (AHK), sebelum ini.

"Tindakan ini telah selesai di peringkat awal dan sekarang kita menunggu siasatan lanjut. Buat masa ini, 10 anggota ini telah diberikan perintah tahan kerja, manakala bakinya masih dalam keadaan reman yang akan berakhir esok.

"Menyertai pertubuhan haram bagi pasukan polis adalah merupakan satu kesalahan dan sekiranya didapati positif terlibat, maka tindakan buang kerja mungkin akan diambil bergantung kepada siasatan oleh bahagian Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) nanti.

"Setakat ini, siasatan belum selesai untuk kita mengumpul bukti sejauh mana penglibatan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan risikan daripada bahagian siasatan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, penglibatan anggota terbabit bermula pada tahun 2021 dan kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Tambah Rohaimi, pihaknya mahu pertubuhan AHK diharamkan kerana didapati menjalankan aktiviti-aktiviti berunsurkan keganasan dan gengsterisme.

"Kumpulan ini didapati menjalankan aktiviti berunsurkan keganasan dan gengsterisme contohnya menjadi orang tengah mengutip wang untuk hutang ahlong dengan menggunakan elemen kekerasan, juga aktiviti menarik kereta secara haram dengan ugutan jenayah.

"Kumpulan ini, kita akan haramkan. Kita akan minta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diwartakan sebagai pertubuhan haram supaya tiada orang boleh menggunakannya.

 "Siasatan masih tertumpu di daerah Dungun, setakat ini di daerah lain tiada lagi pertubuhan yang memerlukan tindakan dari pihak kita," katanya.

Terdahulu, tangkapan dalam operasi khas itu turut melibatkan tujuh orang awam berusia antara 20 hingga 49 tahun. 

Sebanyak lapan bilah senjata berbahaya berupa pedang dan ekor pari juga dirampas, selain lapan buah kenderaan, 28 telefon bimbit serta bahan-bahan lain antaranya pakaian berlogo pertubuhan, pelekat kenderaan dan peralatan-peralatan untuk ritual seperti kain kafan.

 

 

 

 

 


Tag: