• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

10 Rumah Sembelihan Haiwan Dibina di Seluruh Negeri

MARANG, 15 Ogos - Sebanyak 10 rumah sembelihan ruminan telah siap dibina di semua daerah di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kesemua rumah itu termasuk yang baru dirasmikan hari ini iaiti di Wakaf Tapai di sini.

Katanya, kos pembinaan melibatkan peruntukan sebanyak RM490,000 telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri untuk membina rumah sembelihan itu.

“Kawasan seluas 0.57 hektar ini telah digunakan untuk mendirikan rumah sembelihan ruminan di daerah Marang sekali gus melengkapkan sasaran 1 Daerah 1 Rumah Sembelihan.

"Rumah sembelihan ruminan ini juga berkeluasan 50x60 kaki dengan fasiliti yang mampu mencapai kapasiti sembelihan sehingga 15 ekor lembu atau kerbau dan juga 25 ekor kambing atau bebiri. Tempat sembelihan ini bukan sahaja untuk ruminan malahan non ruminan (khususnya arnab) juga dapat disembelih disini. 

“Empat buah rumah sembelihan ruminan telah dibina dibawah kerajaan persekutuan, tiga daripada kerajaan negeri (PBT) dan tiga lagi daripada pihak swasta," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu bual oleh wartawan Urus setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pusat Sembelihan Daerah Marang pada harini ini.

Dalam perkembangan sama, Dr Azman turut berkata,  bagaimanapun 10 rumah sembelihan yang dilesenkan oleh veterinar masih belum mencukupi untuk menampung  keperluan sembelihan terutamanya pada musim-musim perayaan (waktu puncak).

"Sebab itulah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu juga mengeluarkan permit-permit khas untuk sembelihan di luar daripada rumah sembelihan pada waktu-waktu yang tertentu," jelasnya.

Tambah beliau, sektor penternakan di negeri Terengganu mahupun di Malaysia masih belum dapat bersaing sepenuhnya dengan negara-negara penternakan.

"Oleh itu kerajaan negeri berusaha sebaik yang mungkin untuk mempertingkatkan sektor penternakan dan juga pertanian di negeri Terengganu," jelasnya.

 


Tag: