• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

10 Tahun Hidup Bersumberkan Air Kotor

SETIU, 11 Februari – Sekitar 20 keluarga di pedalaman Kampung Kuala Kubang, Jabi di sini akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih selepas projek menaiktaraf paip dengan kos RM30 ribu siap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, gangguan bekalan air serta sumber yang kotor ketika waktu hujan itu berlaku akibat proses penyelenggaran sebelum ini tidak dilakukan dengan baik.

"Sudah berpuluh tahun saliran paip sepanjang lebih tiga kilometer dari kaki gunung ke rumah penduduk tak diselenggara dan sudah banyak yang rosak serta bocor. Kita keluarkan sedikit belanja bagi kerja-kerja penggantian paip dan beberapa peralatan lain,

"Alhamdulillah, siap akhirnya projek penyambungan paip dari Air Terjun Lata Belatan untuk bekalan air kepada hampir 20 buah rumah di Kampung Kuala Kubang,

"Pemasangan paip dari air terjun yang terletak di kaki Gunung Tebu ke kawasan penempatan sejauh 4.3 kilometer melibatkan kos lebih RM30 ribu yang dibiayai Pejabat ADUN Jabi," katanya.

Beliau berkata demikian setelah melihat hasil projek tersebut di Kuala Kubang, Jabi, semalam.

Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Sudin Awang, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera (I-MiTS), Norisabri Ismail, Pengerusi JPKK Jabi, Rahim dan Penolong Hal Ehwal Masyarakat (I-MiTS), Zakaria Mahmud.

Sementara itu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Kubang, Aziz Rashid yang hadir sama dalam tinjauan tersebut berkata, bekalan air terputus terjadi pada setiap masa dan tidak menentu.

"Boleh dikatakan dalam tempoh sebulan ia berlaku dalam lima hingga enam kali, kadang-kadang lebih.

"Paling teruk, dua hingga tiga hari tiada air dalam seminggu kerana paip yang tersumbat, selain air kotor di musim hujan," jelasnya.