• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

100 Guru Tolak Vaksin Sedang Dipujuk

KUALA TERENGGANU, 13 September - Kira-kira 100 guru yang menolak pemberian vaksin di negeri ini dinasihatkan untuk segera mengambil vaksin sebelum persekolahan dibuka awal Oktober ini. 

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dari jumlah tersebut, ada yang masih belum menerima vaksin atas sebab kesihatan yang dinasihatkan oleh doktor dan sebahagiannya merupakan antivaksin.

Katanya, setakat ini, Jabatan Pendidikan negeri telah memainkan peranan untuk memujuk guru-guru tersebut untuk menerima suntikan vaksin tersebut secepat mungkin.

"Ada sebahagiannya telah akur mengambil suntikan vaksin namun  masih ada yang 'hardcore' (tegar) dan menolak pengambilannya.

"Demi kebaikan bersama, saya  menyeru guru-guru ini agar segera mendapatkan vaksin kerana tindakan mereka akan menyusahkan diri sendiri dalam banyak perkara," ujarnya selepas Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, mereka perlu pertimbangkan maslahah dan kebaikan bersama untuk semua pihak termasuk anak-anak murid dan keluarga bagi mengelak penularan wabak pandemik di sekolah apabila dibuka nanti.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pihaknya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi melihat tindakan selanjutnya kepada 2,500 guru di seluruh negara  yang enggan mengambil vaksin.

Beliau berkata, buat masa ini, guru-guru yang tidak divaksin tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka di dalam kelas.

Sementara itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut menyokong langkah Kementerian Pendidikan (KPM) yang memutuskan supaya guru yang enggan terima vaksin dilarang mengajar secara bersemuka apabila sekolah dibuka 3 Oktober nanti.