KUALA NERUS, 13 Januari - Kira-kira 100 kanak-kanak dan remaja lelaki teruja menyertai program Gunting Rambut Percuma Sempena Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Rakit 2025, Kampung Bukit Cempaka, di sini, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya bersyukur apabila program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
"Kita tidak menghadkan jumlah peserta dan menyediakan lima tukang gunting bagi memastikan semua kanak-kanak yang hadir dapat menikmati perkhidmatan ini dalam tempoh ditetapkan," katanya.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diteruskan akan datang dengan membabitkan lebih banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat bagi membantu meringankan beban keluarga memerlukan.
Program ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga, khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Seorang penjaga murid dari Bukit Cempaka, Mohd Alhafiz Mohamad, 41, berkata program berkenaan membolehkan dia menjimatkan kira-kira RM20 bagi menggunting rambut dua orang anaknya yang akan kembali ke sekolah, tahun ini.
"Usaha PKM ADUN Batu Rakit dan Pemuda PAS DUN Batu Rakit ini amat bermakna kepada ibu bapa seperti kami yang bekerja sebagai buruh.
"Program ini sangat tepat pada masanya dan wajar diteruskan pada masa akan datang.
"Saya sudah membelanjakan hampir RM400 bagi membeli keperluan persekolahan dua anak termasuk beg sekolah, kasut, pakaian seragam, alat tulis dan barangan keperluan lain," katanya.