• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

SETIU, 21 Ogos – 100 ekor tupai ditembak mati dalam program Mengurangkan Musuh Tanaman Tupai di sekitar kebun durian Kampung Kuala Kubang, Jabi hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti itu merupakan program komuniti untuk mengurangkan makhluk perosak yang memusnahkan kualiti durian dan buah-buahan lain. 

"Di sini adalah antara kawasan kebun durian tersohor di Jabi. Durian Kuala Kubang ada jenama dan kualiti tersendiri. Sayangnya banyak yang ditebuk tupai. 

"Saya sedar pencinta haiwan tidak akan bersetuju dengan langkah ini. Peminat lagu 'Anak Tupai' Halim Yazid pun akan marah. Tapi operasi ini dah jadi satu keperluan disebabkan banyaknya buah yang rosak angkara tupai.

"Apabila berlaku konflik, akan ada pihak yang terpaksa menjadi mangsa. Kita memahami sesama makhluk Allah, tetapi manusia menjadi keutamaan kita," katanya selepas program terbabit.

Katanya lagi, program seumpama itu akan dibuat secara berterusan kerana ia merupakan isu utama yang dibangkitkan oleh orang kampung.

Sementara itu jelasnya, Jabatan Pertanian juga akan menekankan sistem pengairan serta pembajaan yang teratur di kebun-kebun durian bagi menghasilkan buah yang berkualiti.

"Persetujuan telah dibuat bersama Perhilitan. Insya-Allah, program selepas ini mensasarkan khinzir dan kera.

"Mudah-mudahan langkah yang diambil di samping banyak lagi program di bawah Jabatan Pertanian, kita boleh tingkatkan lagi hasil untuk orang kampung kita khususnya dalam musim buah," tambah beliau.