SETIU, 2 Mac– Seramai 100 penerima menerima sumbangan tunai dan barangan keperluan asas menerusi Program Sumbangan Kasih Ramadan DUN Langkap 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, Ramadan merupakan bulan yang mendidik umat Islam agar lebih peka terhadap kesusahan golongan memerlukan serta sentiasa berkongsi rezeki.
“Ramadan mendidik kita untuk lebih peka dan sentiasa berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
"Ramadan mengajar kita erti berkongsi, memahami dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan," jelasnya ketika berucap dalam program di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap, di sini, semalam.

"Semoga sumbangan kecil ini dapat meringankan beban yang ditanggung dan menjadi asbab hadirnya kebaikan serta keberkatan buat kita semua, insya-Allah," ujarnya.
Menurut beliau lagi, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban penerima selain menceriakan persiapan mereka menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.
“Walaupun nilainya mungkin tidak seberapa, namun kami berharap ia mampu memberi sedikit kelegaan kepada penerima dalam membuat persiapan berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna bersama keluarga tersayang,” tambahnya.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif kebajikan yang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat di kawasan DUN Langkap terus terbela, selaras dengan aspirasi “Terengganu Maju Berkat Sejahtera”.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk sukarelawan, penyumbang dan jawatankuasa pelaksana yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.

Tag :