• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

1,000 Sertai Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam

KUALA TERENGGANU, 5 September- Seramai 1,000 penjawat awam negeri ini menyertai Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bersama Penjawat Awam Negeri Terengganu yang diadakan di Dewan besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, sesi libat urus itu amat signifikan untuk membantu pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam dengan mengambil kira cabaran semasa dan merangka keperluan di masa akan datang.

“Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa majlis perhimpunan hari pekerja pada 1 Mei lalu yang menekankan keperluan untuk diteliti semula berkaitan sistem saraan perkhidmatan awam, satu mesyuarat penyelarasan khas berkaitan dengan bengkel kajian sistem saraan perkhidmatan awam telah dianjurkan oleh pihak JPA pada bulan Julai yang lepas.

“Sistem saraan ini dilihat terdapat keperluan untuk disemak semula memandangkan kajian terakhir berkaitan sistem saraan secara menyeluruh dilaksanakan pada tahun 2002,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di sesi libat urus tersebut yang mana ucaptamanya telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Anesee Ibrahim.

Tambah beliau, untuk tujuan tersebut pihak JPA akan melaksanakan kajian sistem saraan perkhidmatan awam dan untuk mengumpulkan input dan juga maklumat daripada pelbagai pihak terutamanya daripada semua agensi kerajaan.

“Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan efisiensi penjawat awam, mengoptimumkan kos pengurusan agensi kerajaan, menigkatkan produktiviti dan kesejahteraan semua penjawat awam,” ujarnya.

Katanya, penjawat awam perlu sentiada menyokong inisiatif kerajaan dan diharapkan semua ketua jabatan dan pegawai dapat mengemukakan input dan justifikasi bagi memastikan kajian sistem saraan perkhidmatan awam bersifat inklusi serta mengambil kira keperluan sumber manusia pada masa kini dan akan datang.

“Diharapkan pengumpulan input yang diperolehi pada hari ini dapat dirangkumkan menjadi satu hasil yang positif sebelum ianya dapat dipanjangkan kepada pihak JPA,” ujarnya.