• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

103,709 Murid Terengganu Kembali Ke Sekolah Hari Ini

KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Seramai 103,709 murid Tahun 5, Tahun 6 serta Tingkatan 1 hingga 4 di seluruh negeri Terengganu kembali semula ke sekolah hari ini untuk meneruskan pembelajaran mereka setelah hampir empat bulan terhenti akibat COVID-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 41,882 murid sekolah rendah dan 61,827 murid sekolah-sekolah menengah harian serta pelajar Tingkatan 4 Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaaan (SABK), Sekolah Sukan Malaysia (SSM) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN) dari semua kawasan.

Melalui tinjauan yang dilakukannya pagi tadi, beliau berpuas hati melihat persiapan semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa untuk pembukaan semula sekolah secara berperingkat tersebut.

Salim Ab Ghani.

"Alhamdulillah saya berpuas hati dengan kesiapsiagaan semua pihak terutamanya pihak sekolah dalam menerima kemasukan pelajar-pelajar kita hari ini selepas hampir empat bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Bagaimanapun kita mengharapkan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di sekolah-sekolah ini sentiasa dipatuhi dan dijalankan secara berterusan.

"Sehingga kini kita masih menanti kemasukan pelajar Tahun 1 hingga 4 yang berjumlah seramai 85,748 orang yang akan kembali pada 22 Julai ini. Manakala seramai 7,461 murid Tingkatan 1 hingga 3 daripada SBP, SMKA, SABK, SSM dan SSN dijadualkan kembali pada 3 Ogos ini.

"Justeru saya mengharapkan pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa sentiasa berwaspada tentang keselamatan masing-masing terutamanya melibatkan pelajar-pelajar," katanya pada satu sidang media selepas meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, di sini.

Hadir sama, Guru Besar SK Seri Budiman, Salleh Mokhtar dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sekolah, Saadiah Abdul Rahman.

Jelasnya, disebabkan ruang dan kapasiti setiap sekolah adalah berbeza, pengoperasian juga perlu dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan berbeza mengikut kapasiti dan keupayaan sekolah.

"Selepas mengambil kira aspek penjarakan sosial, ada sekolah yang dapat menampung kehadiran murid seperti biasa dan ada juga yang sebaliknya. Di Terengganu, kita mempunyai dua sekolah yang mengikuti Model Dua Sesi, satu di Dungun dan satu di Kemaman.

"Model kedua ini adalah untuk sekolah sedia ada yang beroperasi secara dua sesi ataupun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial," katanya.

Untuk rekod, seramai 195 murid Tahun 5 dan 173 murid Tahun 6 SK Seri Budiman memulakan pembelajaran mereka bermula hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai bagi murid Tahun 1 hingga 4.

Tarikh pembukaan penuh sekolah itu membabitkan semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

"Bagi sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM pula, mereka juga disaran untuk turut mengikut tarikh pembukaan penuh sekolah yang ditetapkan," katanya dalam sidang media khas.