• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

1,050 JPKK Terengganu Terima Watikah Lantikan

KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Sebanyak 1,050 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dijenamakan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri Terengganu hari ini menerima watikah pelantikan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim menyatakan bilangan JPKK menyaksikan pertambahan berbanding 1,046 MPKK sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya telah meneliti senarai yang ada dan mendapati sebahagian besarnya masih mengekalkan kepimpinan sebelum ini. Kalau diikutkan pengiktirafan yang diperolehi sebelum ini, MPKK Terengganu dikatakan antara yang terbaik dalam negara.

"Jadi, dari segi pengurusan dan juga khidmat, kita harap kesinambungan ini berterusan. Sebagaimana kita telah melalui proses belajar selama dua tahun tujuh bulan dengan ilmu berkaitan pentadbiran, kita tentu mampu pergi lebih jauh ke hadapan sebagai jentera kerajaan di peringkat bawah sekali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyampaian watikah pelantikan JPKK yang disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, watikah itu disampaikan kerajaan negeri kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai penyelaras DUN di seluruh Terengganu dalam satu majlis ringkas.

"Pihak pentadbiran juga akan mengangkat permohonan geran JPKK dalam masa terdekat dengan nilai sama seperti tahun lalu iaitu RM10,000. Ini kerana, tahun lepas kita luluskan tetapi kerana kekangan COVID-19 kita cuma bagi one-off RM4,000 bagi setiap MPKK.

 "Oleh itu, tahun ini kita mohon jumlah yang sama sebagai ganti kepada geran yang telah dihentikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum daripada ini," katanya.

ADUN Jabi itu turut menambah, kuota keanggotaan JPKK turut dibuka kepada rakan-rakan parti Perikatan Nasional sebagaimana yang dipersetujui.

Menurutnya, setakat ini lima keanggotaan dibuka dan telah diisi oleh rakan-rakan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di 114 JPKK beberapa DUN terutama Besut dan Setiu.

"Rakan Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO telah menolak untuk menganggotainya dan kita hormati pendirian mereka. 

"Kita juga telah longgarkan syarat yang ditetapkan untuk parti PPBM. Walaupun KPLB menetapkan hanya parti yang mempunyai cawangan sah di kampung berkenaan sahaja yang boleh menyertai, kita longgarkan syarat asalkan ada wakil kita berikan kerana kita ambil cakna untuk menguruskan kampung secara keseluruhan," katanya.

 

 

 

 

 

 


Tag: