• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

108 Pek Bantuan Makanan Asas Diagihkan Dalam Dun Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kuala Terengganu telah menyumbang sebanyak 108 pek bantuan makanan asas kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bagi membantu meringankan beban masyarakat setempat yang terjejas akibat Covid-19.

PKM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah mengambil perjalanan mengagihkan kesemua bantuan tersebut kepada masyarakat yang memerlukan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN berkenaan.


“Kami telah meminta pengerusi JPKK untuk menyenaraikan keluarga yang tergolong dalam kategori fakir miskin sebelum ini supaya proses pengagihan ini dapat berjalan dengan lancar.

“Insya-Allah ada rezeki lagi nanti kita akan adakan lagi agihan bantuan ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.


Proses pengagihan pek bantuan tersebut kepada 36 buah JPKK telah diadakan semalam di Dewan Dato’ Hj. Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai.

Sementara itu, orang ramai diminta untuk mengamalkan kehidupan norma baharu dalam usaha untuk memutuskan penularan wabak Covid-19.