• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

109 Ketua Isi Rumah Terima Bantuan Mangsa Bencana

KEMAMAN, 8 Oktober - Seramai 109 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan dalam satu Majlis Penyerahan Wang Ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2019/2020 yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Limau, hari ini.

Bantuan itu diberikan bertujuan membantu bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terlibat semasa bencana banjir yang berlaku pada tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan ini diberikan kepada setiap KIR yang mewakili jumlah keseluruhan 503 mangsa banjir yang melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Air Putih (14 KIR) dan DUN Kijal (95 KIR).

"Peruntukan ini disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku sekretariat Pengurusan Bencana Peringkat Daerah untuk diagihkan kepada penerima bantuan mangsa banjir dengan kolaborasi Pejabat Daerah Kemaman," ujarnya.

Katanya lagi, jumlah bantuan yang diterima bagi setiap KIR adalah sebanyak RM500 dan melibatkan jumlah keseluruhan RM54,500.00.

"InsyaAllah, dalam bulan November nanti saya akan minta seluruh masjid di daerah ini untuk mengadakan solat hajat supaya kita semua dihindarkan daripada bencana banjir besar tahun ini," ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Turut bersama dalam majlis tersebut, ADUN Air Putih, Abd Razak Ibrahim, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A.Rahman @ Othman, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman, Kapt. (PA) Mohd Suhaimi Awang @ Muhammad dan Penolong Pengarah SPRM Cawangan Kemaman, Nurul Hafanah Ahmad.


Tag: