• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

11,500 Unit Rumah Mampu Milik Dalam Pembinaan

KUALA TERENGGANU, 17 Jun - Kerajaan negeri berada pada landasan yang tepat untuk mencapai sasaran membina 20,000 unit Rumah mampu Milik (RMM) patuh syariah di seluruh negeri ini dalam tempoh empat tahun hingga 2022 seperti digariskan dalam manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Berkongsi perkembangan ​projek perumahan yang rancak dibangunkan serta dirancang, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, sehingga kini sebanyak 11,500 unit RMM sedang dalam pembinaan bagi membolehkan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) memiliki rumah yang lebih selesa dengan harga yang rendah.

“RMM yang sedang dibina adalah di empat lokasi iaitu di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus; Kampung Tempinis, Besut; Kampung Gong Cengal, Kemaman dan Kampung Tajin di Hulu Terengganu.

“Insya-Allah dalam tahun ini juga dua projek RMM baharu kita akan lancarkan iaitu di Bukit Gasing, Marang dan Bukit Tumbuh, Kuala Nerus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangi Perjanjian Usahasama Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik Dan Bercampur Di Kawasan Dendong Mukim Tembila Daerah Besut Terengganu antara kerajaan negeri dan Wanland Metro Sdn Bhd yang disaksikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dr Alias berkata, kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 5,000 unit RMM setahun bagi membolehkan pembinaan 20,000 unit RMM di seluruh negeri mampu direalisasikan.

“Kalau diikut jumlah 11,500 unit yang sedang dalam pembinaan sekarang ini telah melepasi sasaran tahunan kerana apa yang disasarkan adalah sebanyak 5,000 unit setahun.

“Melalui RMM ini rakyat yang berpendapatan rendah akan dapat memiliki rumah seluas 800 kaki persegi dengan harga RM80,000. Dalam projek ini kerajaan negeri hanya mengenakan bayaran harga tanah sebanyak RM1,000 bagi setiap lot rumah,” katanya.


Tag: