• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

119 Kanak-Kanak TPK Kemaman Hafaz Muqaddam

Haji Hanafiah Mat (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada salah seorang kanak-kanak Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Kemaman.
KEMAMAN, 11 November - Seramai 119 kanak-kanak Taska Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dari seluruh Kemaman berjaya menghafaz muqaddam pada tahun ini.

Bagi meraikan pencapaian mereka selaras dengan usaha ke arah menyemai pembentukan generasi al-Quran di peringkat usia awal, satu himpunan diadakan di sini, pagi ini

Kanak-kanak berusia  empat tahun daripada tujuh buah taska memperdengarkan bacaan 23 surah lazim pada Majlis Penyampaian Sijil Hafaz Muqaddam Taska YPKT di Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.


Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat.

Hadir sama  Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan 25 Rasul, 'story telling' dan lagu permata oleh kanak-kanak YPK.

Lebih 1,000 kanak-kanak di taska kelolaan YPKT berjaya menghafaz 23 surah pada setiap tahun.

Pada tahun ini mencatatkan bilangan 1,170 kanak- kanak membabitkan 66 taska TPK dari seluruh Terengganu.


Hanafiah berkata, cadangan kerajaan negeri untuk mengguna pakai modul pembelajaran Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) dalam TPK kini di peringkat perbincangan.

"Saya lihat modul pembelajaran kedua- dua pusat asuhan itu adalah baik di mana menekankan dan mengutamakan aspek pembelajaran al-Quran.

"Bagaimanapun kita tambah nilai di pelbagai sudut lain dengan menekankan kepentingan  akhlak dan cerminan sebagai umat islam sejati dari awal usia," katanya.

Tag: