• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

11,975 Individu Diperiksa Dalam Op 2 Jam

KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Sepanjang lima hari pelaksanaan operasi had dua jam (Op Had 2J) seramai 11,975 individu di 1,257 premis perniagaan telah diperiksa di seluruh negara. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid berkata, operasi berkenaan bagi memantau dan memastikan pematuhan had masa pelanggan.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat adalah baik dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan pada 25 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan Op Had 2J kini ditangguhkan selepas kerajaan mengumumkan 'total lockdown' (yang bermula esok) bagi mengelakkan situasi pembelian panik di kalangan orang awam.

“Kita sangat gembira dengan pematuhan orang ramai terhadap SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkaitan had masa dua jam di sesebuah premis seperti pusat beli-belah dan pasar raya.

“Ini menunjukkan masyarakat sebenarnya memahami dan mendengar kata mengenai usaha kerajaan melawan penularan COVID-19,” katanya kepada pemberita selepas meninjau bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Sementara itu Rosol berkata, seramai 160 peruncit dan pemborong terpilih di negeri ini diberikan kebenaran menyimpan barang kawalan melebihi 20 peratus daripada had simpanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan 'total lockdown'.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai tidak perlu bimbang kerana bekalan barangan keperluan asas di semua sektor peruncitan di Terengganu dijamin mencukupi berdasarkan pemantauan.

“Premis perniagaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit masih beroperasi seperti biasa, jadi bekalan barangan mencukupi dan orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik,” katanya.