• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

12 Ribu Hektar Tanah Pertanian Masih Terbiar

KUALA NERUS, 12 OGOS - Sebanyak 12 ribu hektar daripada keseluruhan 251 ribu hektar tanah berstatus pertanian di negeri Terengganu masih lagi terbiar dan tidak diusahakan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, tanah terbiar itu bukannya milik kerajaan, tetapi dimiliki individu yang tidak mengusahakan tanah tersebut selama tiga tahun berturut-turut.

"Keluasannya adalah sekurang-kurangnya 0.4 hektar, sama ada ada tanah yang bersambung ataupun berasingan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Taklimat Pertanian Dan Penggunaan Tanah Terbiar Bersama Pegawai Jabatan Pertanian kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading di sini kelmarin.

Empat orang wakil dari setiap MPKK hadir mendengar taklimat.

"Pada tahun lepas, di bawah Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, telah dilancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 yang telah menggariskan pelbagai strategi dan juga program-program ke arah memajukan pertanian di negeri kita ini.

"Alhamdulillah, hasil kesungguhan yang telah ditunjukkan, sektor pertanian telah berkembang pada tahun 2019 apabila ia meningkat sehingga enam peratus (6%) berbanding tahun sebelumnya yang jatuh di bawah peratus negatif 2.5 peratus," ujar beliau.

Ridzuan yang juga ADUN Buluh Gading bersetuju bahawa sekarang merupakan waktu yang tepat untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar bagi mencapai Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 sebagaimana yang telah dititahkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Pembukaan Penggal Ketiga DUN Terengganu pada Mac lalu.

Mohd Muazzam menyampaikan taklimat tentang penggunaan tanah terbiar.

"Kita dapat lihat kesungguhan kerajaan negeri dalam bidang pertanian ini sehingga ianya dijadikan salah satu daripada tujuh teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

"Saya berharap dengan pencerahan dan taklimat daripada pegawai pertanian akan dapat membuka dimensi baharu agar tanah terbiar dapat dimanfaatkan untuk menjana hasil pendapatan sama ada secara berskala besar atau kecil-kecilan," tambah beliau lagi.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Pejabat Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Mohd Muazzam  Abdullah.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim mengumumkan kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa (Task Force) Pemulihan Tanah Terbiar bagi mencari solusi untuk memajukan kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri pada 6 Mei lalu. 

Katanya, fungsi jawatankuasa berkenaaan antaranya bertujuan mengenal pasti tanah terbiar dan pemilikan di setiap daerah yang melebihi 0.4 hektar dalam satu kawasan.

 

 

 

 

 


Tag: