• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

SETIU, 1 Disember - Fatimah Ismail, 54, terpaksa mendiami rumah usang bersama dua lagi anaknya tanpa bekalan elektrik dan air sejak 12 tahun lalu akibat kesempitan hidup.

Lebih menyedihkan apabila rumah berusia 25 tahun di Kampung Pandu, Wakaf Chagak itu sering mengalami kebocoran atap dan berkeadaan sangat kotor.

Fatimah berkata, selepas bercerai dengan suaminya pada 2010, kehidupan dia bersama dua lagi anaknya semakin tidak terurus.

"Muhamad Shahmil Yahaya, 18, baru mendapat kerja melalui bapa saudaranya dengan menjadi nelayan di Tanjung Dawai, Kedah, manakala Muhamad Farid Yahaya, 21, pula baru hilang kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini dan menyebabkan pendapatan kami tidak menentu.

"Pendapatan Shahmil dan saya hanya kerja pembantu di Kedai Roti Canai tidak seberapa namun cukup untuk kami makan minum, kini kami hanya bergantung harap kepada anak bongsu saya Shahmil.

"Tiga orang tinggal di rumah buruk dan sempit ini. Kami hanya mampu menagih simpati daripada beberapa individu prihatin yang ada memberi sumbangan makanan," katanya ketika ditemui di kampung Pantai Batu Rakit baru-baru ini.

Sementara itu, Shahmil turut berkongsi keperitan hidup mereka membesar dengan serba daif serta terpinggir daripada masyarakat.

"Ketika bersekolah saya membuat ulang kaji dan kerja sekolah hanya bercahayakan pelita. Sejak lahir saya dibesarkan di dalam 'kegelapan' dengan kehidupan yang daif di rumah ini tetapi saya bersabar kerana inilah syurga saya.

"Saya tidak akan meninggalkan ibu saya yang kini sering jatuh sakit dan tua. Saya akan jaga mereka sehingga akhir hayat saya.

Menyedari penderitaan mereka sekeluarga, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kesukaran keluarga terbabit telah diselesaikan segera.

“Syukur Alhamdulillah mereka tiga beranak telah berpindah ke rumah sewa di Pantai Batu Rakit, saya dan team akan bayar sewa rumah setiap bulan dan kami membeli tilam, rak baju, rak pinggang, tong gas, barangan harian dapur dan sedikit sumbangan duit,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menziarah rumah mereka di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus atau menghubungi saudara Fadol di talian 019-9569913 (bahagian pengurusan bayaran sewa rumah) atau boleh salurkan sumbangan melalui Kelab Sahabat Cakna (1301-0006296-71-2) Bank Muamalat.


Tag: