• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

130 Pelajar UniSZA Didedahkan Dengan Ilmu Penyembelihan Ayam

KUALA TERENGGANU, 13 Mei- Seramai 130 peserta termasuk pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didedahkan dengan ilmu penyembelihan ayam mengikut syariat Islam menerusi program ‘Mahasiswa Rahmah, Komuniti Barakah’ yang diadakan di Maahad Tahfiz Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring di sini, baru-baru ini.

Pengarah programnya, Abdul Halim Harraz Mohamad Fauzi berkata, selain mendidik pelajar dan komuniti tentang tatacara penyembelihan ayam yang halal, secara tidak langsung program tersebut merapatkan hubungan silaturahim mahasiswa dan mahasiswi dengan masyarakat setempat.

Katanya, program anjuran UniSZA yang turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti tentang manfaat penyembelihan ayam yang halal dan berkualiti.

“Peserta turut diberi pendedahan secara amali yang secara tidak langsung memberi pengalaman sebenar cara melakukan penyembelihan ayam dengan tertib dan sempurna,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, program yang bertemakan ‘Prihatin, Ukhuwah, Kasih Sayang’ itu bukan sahaja dapat melatih pelajar dalam melaksanakan kerja secara berkumpulan, dalam masa yang sama menerapkan konsep kesukarelawan dalam diri mereka melalui aktiviti kemasyarakatan.
 


Tag: