• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

1,300 Kes Tuntutan Covid-19 Diselesaikan PERKESO Terengganu

KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Sebanyak 1,300 tuntutan kes berkaitan Covid-19 telah direkodkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Terengganu bermula Mac lalu hingga September.

Pengarahnya, Farihah Che Husin berkata, rata-rata kes yang dituntut adalah kes daripada kluster pejabat yang dikuarantin dengan 70 peratus daripadanya sudah diselesaikan dan berjaya dituntut oleh pencarum.

“Sehingga kini, alhamdulillah kita sudah berjaya menyelesaikan 70 peratus kes tuntutan. Manakala 30 peratus lagi adalah kes baharu yang sedang diproses dan dikemaskini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Sambutan Jubli Emas Peringkat PERKESO Negeri Terengganu di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizulkarnain Abd Kadir. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC), Aminuddin Omar dan Ketua-Ketua Jabatan Kerajaan Negeri Terengganu.

Menurut Farihah, jumlah keseluruhan tuntutan membabitkan bayaran sebanyak RM1.3 juta telah dibayar kepada 910 pencarum.

“70 peratus tersebut membabitkan bayaran RM1.3 juta yang telah selesai dibayar kepada 910 pencarum,” katanya.

Mengulas lanjut, tambahnya, sebanyak 30 kes kematian akibat Covid-19 telah memberi manfaat dan faedah perlindungan kepada wakil pencarum.

“Sebanyak 30 kes kematian akibat Covid-19 layak menerima bayaran faedah membabitkan tuntutan berjumlah RM105,000 sehingga akhir September,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, faedah bulanan bergantung kepada nilai caruman. Kesemua kes yang diterima di PERKESO akan diproses dokumen yang lengkap dalam masa tujuh hari bekerja.


Tag: