• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

13,000 Beg Sekolah Diagih Kepada Pelajar Miskin

SETIU, 28 Disember - Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) mengagihkan 13,000 beg sekolah kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Timbalan Presiden Dana Kita, Muhammad Irwan Omar berkata pada tahun ini pihaknya berjaya mengedarkan sumbangan itu ke enam lokasi seluruh negara iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kedah, Kelantan dan lokasi terakhir di Setiu, Terengganu.

Timbalan Presiden DANA KITA, Muhammad Irwan Omar

"Sumbangan di daerah Setiu melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 2,200 beg sekolah dan 2,200 set keperluan asas untuk diagihkan kepada pelajar yang kurang bernasib baik di 43 buah sekolah rendah dan sebuah pusat pengajian pondok."

"Alhamdulillah keseluruhan dana awam yang kita perolehi untuk keseluruhan program ini sebanyak 1.8 juta," ujar beliau ketika ditemuramah oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Program yang telah digerakkan sejak 2016 bermula dengan 1,000 beg dan menyasarkan para murid B40 yang memerlukan bantuan awal persekolahan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, sumbangan itu pasti akan menyuntik semangat pelajar-pelajar untuk kembali melanjutkan sesi pembelajaran.

"Terima kasih saya ucapkan kepada NGO Dana Kita kerana sudi memilih daerah Setiu sebagai lokasi pemberian sumbangan.

"Kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah, manfaatkan barangan yang diberi agar pihak sekolah bukan sahaja menjadi institusi pendidikan malah menjadi hub pemberian bantuan segera kepada murid-murid sekolah," kata beliau ketika ucapan perasmian Program Bags To School.

Inisiatif penyaluran bantuan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita merupakan NGO kebajikan yang ditubuhkan bagi membantu golongan asnaf dan yang memerlukan diseluruh negara.

Bagi yang berminat membuat sumbangan, boleh menghubungi Facebook Dana Kita atau terus melakukan transaksi ke akaun bank mereka di Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, 564221646925 (Maybank).