Jalur Gemilang
Berita :
1,456 Belia Sertai KIAM, ADUN Mahu Program Pembangunan Belia Diperluas
1,456 Belia Sertai KIAM, ADUN Mahu Program Pembangunan Belia Diperluas
Ahmad Zaeem Zainudin
25 minit yang lepas
50

KUALA TERENGGANU, 18 November – Program pembangunan modal insan belia di Terengganu wajar diperluaskan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang berjati diri, berakhlak dan memiliki ciri kepimpinan sebagai pelapis negeri pada masa hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, usaha itu memerlukan perhatian lebih besar daripada kerajaan negeri, khususnya dari segi peruntukan bagi memastikan lebih ramai anak muda mendapat manfaat.

Menurutnya, program Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) dan Gema KIAM sebelum ini berjaya merekodkan sebanyak 1,456 penyertaan pada 2024, sekali gus membuktikan keupayaan program berkenaan menarik penyertaan golongan muda.

Bagaimanapun katanya, jumlah penyertaan menerusi program Future Terengganu Leader (FUTERA) yang diperkenalkan selepas penjenamaan semula hanya melibatkan 227 peserta dalam tempoh setahun.

"Saya tidak pasti mengapa ia dinamakan semula dengan nama program FUTERA yang pelibatan pesertanya hanya 227 orang sahaja dalam tempoh setahun.

"Berbanding 1,456 penyertaan dalam tempoh yang sama, iaitu pada tahun 2024 melalui program KIAM dan Gema KIAM," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, pada Selasa.

Ridzuan berkata, perbezaan jumlah penyertaan itu menimbulkan persoalan sama ada perubahan berkenaan berpunca daripada kekangan kewangan atau mempunyai justifikasi lain.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pembangunan modal insan belia diberikan keutamaan sewajarnya sebagaimana peruntukan yang disediakan bagi pembangunan sukan.

"Kalau untuk pembangunan sukan, kerajaan boleh berbelanja sehingga mencecah jutaan ringgit, bahkan mungkin lebih daripada itu, maka kenapa tidak untuk program pembangunan modal insan yang jauh lebih penting ini?" soalnya.

Beliau turut mencadangkan supaya program pembangunan modal insan dilaksanakan semula secara bersiri di setiap daerah atau kawasan DUN dengan sasaran penyertaan lebih besar dan menyeluruh.

"Sehubungan itu, saya memohon pihak kerajaan memperluaskan semula pelaksanaan program pembangunan modal insan ini, tidak kira atas nama apa pun, sama ada KIAM, Gema KIAM atau FUTERA sekalipun.

"Ia demi melahirkan generasi muda Terengganu yang berjati diri, berakhlak dan mempunyai ciri kepimpinan sebagai pelapis pada masa hadapan," ujarnya.

Ridzuan menegaskan bahawa pembangunan modal insan merupakan pelaburan jangka panjang yang tidak kurang pentingnya berbanding pembangunan prasarana fizikal dan sektor ekonomi.

Katanya, usaha mempersiapkan generasi muda hari ini menjadi asas penting dalam melahirkan barisan kepimpinan negeri yang berkualiti pada masa hadapan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan