Jalur Gemilang
Berita :
Bayar Nafkah Sementara Ketika Kes Cerai Dibicarakan – ADUN Ladang
Bayar Nafkah Sementara Ketika Kes Cerai Dibicarakan – ADUN Ladang
Rohayati Ripin
42 minit yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan Terengganu disaran mempertimbangkan mekanisme pembayaran nafkah sementara kepada anak-anak sepanjang prosiding mahkamah bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa pengabaian selepas perceraian ibu bapa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, cadangan itu penting memandangkan proses mendapatkan dan menguatkuasakan perintah nafkah boleh mengambil masa, sedangkan keperluan harian anak-anak tidak boleh ditangguhkan.

Menurutnya, antara masalah yang sering berlaku ialah kegagalan bekas suami menunaikan tanggungjawab nafkah sehingga menyebabkan bekas isteri terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan membesarkan anak-anak.

"Perceraian tidak menggugurkan tanggungjawab nafkah, khususnya dalam memastikan keperluan dan kebajikan anak-anak terus terpelihara.

"Lebih membimbangkan, proses mendapatkan serta menguatkuasakan perintah nafkah boleh mengambil masa, sedangkan keperluan anak-anak perlu dipenuhi setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini.

Sehubungan itu, Zuraida mengemukakan tiga cadangan untuk pertimbangan kerajaan negeri, termasuk mewujudkan mekanisme pembayaran nafkah sementara sepanjang proses mahkamah berlangsung.

Beliau turut menyarankan supaya peruntukan undang-undang keluarga Islam di Terengganu diperkukuh dengan mengambil kira pendekatan yang telah dilaksanakan di negeri lain.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga wajar meneliti kemungkinan tanggungjawab nafkah dipikul waris tertentu sekiranya suami tidak berupaya menunaikannya, tertakluk kepada hukum syarak dan ketetapan undang-undang.

Tegas beliau, hak nafkah tidak seharusnya sekadar diiktiraf melalui peruntukan undang-undang atau perintah mahkamah, sebaliknya perlu dipastikan benar-benar dapat dilaksanakan dan dikuatkuasakan.

"Inilah komitmen yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan sistem keadilan keluarga Islam di Terengganu lebih menyeluruh dan kebajikan wanita serta anak-anak terus terbela," katanya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan