Jalur Gemilang
Berita :
40 Hektar Sawah Terbiar Berjaya Dibangunkan, Sasaran 1,000 Hektar
40 Hektar Sawah Terbiar Berjaya Dibangunkan, Sasaran 1,000 Hektar
Rohayati Ripin
12 minit yang lepas
24

KUALA TERENGGANU, 18 November – Sebanyak 40 hektar tanah sawah terbiar milik petani di Terengganu berjaya dibangunkan semula setakat ini menerusi usaha kerajaan negeri mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian dan meningkatkan pengeluaran padi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, jumlah itu masih jauh daripada sasaran keseluruhan 1,000 hektar berikutan beberapa kekangan yang dihadapi dalam pelaksanaannya.

Menurutnya, antara cabaran utama ialah kesukaran mendapatkan persetujuan pemilik tanah selain kurangnya minat pelabur untuk mengusahakan kawasan sawah terbiar milik individu.

Katanya, kerosakan infrastruktur asas di kawasan berkenaan turut menyukarkan usaha pembangunan semula kerana memerlukan peruntukan besar bagi kerja pembaikan.

"Selain itu, terdapat kawasan yang telah diusahakan dengan tanaman lain atau dibangunkan untuk aktiviti lain," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15.

Dalam pada itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri terus memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan produktiviti tanaman padi menerusi Pelan Strategik Pertanian Negeri Terengganu 2024-2030 (PSPT).

Menurutnya, antara langkah yang dirancang ialah menaik taraf dan menyelenggara empat hingga tujuh skim pengairan luar jelapang bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air di kawasan penanaman padi.

Selain pembangunan infrastruktur, katanya, kerajaan negeri turut memperkukuh kemahiran pesawah melalui pelaksanaan 86 program kursus dan latihan praktikal pada 2024, diikuti 84 program pada 2025.

"Penggunaan teknologi moden seperti dron bagi kerja pembajaan, penyemburan racun serta analisis struktur tanah dan air sawah juga giat diperluaskan dengan penglibatan sektor swasta," ujarnya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan