Jalur Gemilang
Berita :
YPU Perkasa Usahawan Muda Ceburi Sektor Pertanian
YPU Perkasa Usahawan Muda Ceburi Sektor Pertanian
Mastura Jamal Din
12 minit yang lepas
17

KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) terus mempergiat usaha melahirkan golongan muda yang berdaya saing dalam bidang keusahawanan tani dan industri asas tani melalui penyediaan latihan, bimbingan serta pembangunan produk.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan melahirkan usahawan yang berpengetahuan, inovatif dan mampu mengurus perniagaan secara mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Katanya, antara usaha dilaksanakan termasuk penganjuran kursus asas keusahawanan, pengurusan kewangan dan aliran tunai bagi membantu golongan muda memahami selok-belok memulakan serta mengurus perniagaan.

“Melalui latihan ini, usahawan tani dapat merancang modal, mengawal kos pengeluaran, menetapkan harga jualan dan menilai keuntungan perniagaan secara lebih sistematik.

“Selain itu, YPU turut menyediakan kursus dan bengkel pembangunan produk, termasuk aspek pembungkusan dan pelabelan bagi meningkatkan kualiti serta nilai komersial produk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Yusop Majid pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas (Bajet), di sini semalam.

Menurutnya, kemahiran pembangunan produk itu boleh dimanfaatkan usahawan industri asas tani untuk menghasilkan produk hiliran seperti makanan sejuk beku, produk berasaskan buah-buahan, makanan tradisional dan pelbagai produk tempatan yang mempunyai nilai tambah.

Katanya, YPU juga memberi penekanan terhadap pengukuhan kemahiran pemasaran dan pendigitalan perniagaan menerusi kursus pemasaran strategik, penggunaan Facebook, TikTok dan WhatsApp serta penjualan melalui platform Shopee.

“Pendedahan ini membolehkan usahawan tani memasarkan produk kepada kumpulan pelanggan lebih luas, mengurangkan kebergantungan kepada kaedah jualan konvensional dan meneroka peluang pasaran baharu.

“Bagi tempoh 2024 hingga 2026, sebanyak 69 kursus keusahawanan telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 5,124 peserta, melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM207,000,” katanya.

Tambah beliau, bimbingan turut diberikan melalui Program Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang menyediakan peluang kepada usahawan memperluas jaringan perniagaan, mengikuti kursus dan seminar serta mendapatkan maklumat berkaitan pembangunan produk dan pembiayaan.

 Sehingga kini, katanya, seramai 16,451 usahawan telah berdaftar dengan program berkenaan.

Dalam pada itu, YPU turut menyediakan skim bantuan peningkatan kualiti produk termasuk kemudahan berkaitan kod bar, pembungkusan dan pelabelan, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Inisiatif tersebut diharap dapat membantu usahawan industri asas tani menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan memenuhi keperluan pasaran, sekali gus membuka peluang untuk menembusi kedai runcit, pasar raya serta saluran pemasaran yang lebih luas.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan