KEMAMAN, 2 Januari - Seramai 15 kanak-kanak berjaya mencatat rekod luar biasa apabila menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut di Masjid Bukit Anak Dara, Kijal, sekali gus menerima basikal sebagai ganjaran atas usaha mereka.
Seorang bapa kepada empat orang anak, Abdul Halim Siddiq Mohamad Kamal, 42, berkata kesemua anaknya berjaya melengkapkan cabaran tersebut.
"Pada peringkat awal agak sukar untuk mengejutkan anak-anak bangun Subuh, namun lama-kelamaan ia menjadi satu kebiasaan. Empat orang anak saya tersebut ialah Muhammad Irfan Haziq, Muadz, Huda Humaira dan Hana Humaira.
“Saya berharap agar program ini dapat diteruskan lagi buat masa akan datang kerana saya melihat usaha ini sangat berkesan untuk mendidik anak-anak supaya cintakan rumah Allah dan terima kasih kepada YB Kijal atas penganjuran program ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Peserta King Of Subuh Warrior bertempat di Masjid Bukit Anak Dara Kijal semalam.

Pemenang 40 hari King of Subuh Warrior, Muhammad Amir Fakri Mohamad Asrul Nizam, 12 tahun dari SK Bukit Anak Dara berkata berasa gembira dapat menyertai program tersebut.
“Saya akan tidur awal sekitar jam 11 malam setiap hari bagi memastikan dapat bangun untuk solat Subuh.
“Sepanjang program ini berlangsung, saya rasa lebih sihat dan aktif kerana bangun awal selalu dan dapat pergi ke sekolah lebih awal," katanya.
Seorang lagi pemenang, Hannan Naufal bin Nazran Azlan, 9 tahun, pelajar SRIDI Kijal, berkongsi pengalaman menarik apabila enggan pulang ke rumah tok walaupun diajak oleh ibu bapanya.
“Saya tak mahu pulak rumah tok kerana saya ingin meneruskan penyertaan dalam program King of Subuh Warrior.
“Saya hanya bersetuju pulang selepas program itu tamat dan InsyaAllah pada esok hari kami akan pulang ke rumah tok di bandar,” ujarnya.
Sementara itu, Khairul Shahrul Abdul Razak, 44, turut melahirkan rasa syukur apabila dua orang anaknya, Aisy Zara dan Ainis Kamalia berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari di masjid.
“Pandangan saya didikan agama yang diterapkan sejak awal banyak membantu membentuk disiplin anak-anak.
“Harapan saya agar anak-anak dapat istiqamah dalam menunaikan solat subuh berjemaahdi masjid serta lebih bersemangat atas anugerah malam ini,” ujarnya.
Sementara itu, Khairul Shahrul Abdul Razak, 44, turut melahirkan rasa syukur apabila dua orang anaknya, Aisy Zara dan Ainis Kamalia berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari di masjid.
“Pandangan saya didikan agama yang diterapkan sejak awal banyak membantu membentuk disiplin anak-anak.
“Harapan saya agar anak-anak dapat istiqamah dalam menunaikan solat subuh berjemaahdi masjid serta lebih bersemangat atas anugerah malam ini,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris menyifatkan kejayaan program ini sebagai luar biasa.
Beliau mengucapkan tahniah kepada 15 orang King of Subuh Warrior 4.0 di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal yang berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan masjid, jawatankuasa penganjur serta seluruh ahli kariah yang berganding bahu menjayakan program ini.
Menurutnya, usaha sebegini wajar diteruskan bagi menghidupkan masjid dan mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.