• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

150 Pelajar Sertai Kem Motivasi Dan Smart Al-Quran

BESUT, 11 Januari - Seramai 150 pelajar menyertai Kem Motivasi dan Smart Al-Quran 2021 yang diadakan selama lima hari bermula 9 Januari lalu bertempat di Kompleks Tahfiz An Nur Besut, Kampung Alor Belanga, Jerteh.

Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, program anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Besut itu merupakan inisiatif pihaknya bagi mengisi waktu cuti hujung tahun pelajar agar lebih bermanfaat.

"Kita sedia maklum, usia remaja 10 hingga 17 tahun ini merupakan peringkat umur yang paling kritikal kerana pada usia sebegini mereka mula mencari identiti diri, suka mencuba sesuatu dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif," ujarnya kepada pemberita.

Katanya, pogram ini juga dapat menyuburkan kecintaan kepada al-Quran dan hadis Nabi dalam jiwa pelajar.

"Generasi hari ini yang dikenali sebagai "generasi android" sangat terdedah dengan kerosakan akhlak kerana terlalu mudah dalam mengakses media sosial.

"Atas dasar tanggungjawab sebagai pemegang amanah saya akan menyebarkan kebaikan kepada seluruh masyarakat, maka program ini diinspirasikan," ujarnya.

Katanya, dengan adanya program sebegini diharap dapat membentuk pelajar yang mempunyai matlamat hidup dan bermotivasi tinggi.


Tag: