• 07 Okt 2024 | 04 Rabiul Akhir 1446

16 Pasukan Berentap Rebut Piala ADUN Seberang Takir

KUALA NERUS, 3 Julai - Sebanyak 16 pasukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bakal berentap bagi merebut piala YB ADUN Seberang Takir 2024 bagi Kejohanan Bolasepak 9 sebelah yang dijadualkan berlangsung 5 dan 6 Julai ini.

Pengarah Program, Mohd Ariffin Abd. Ghafor berkata, kejohanan dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Seberang Takir dengan NGO sukan setempat itu akan diadakan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak.

"Kejohanan yang dinantikan ini merupakan temasya tradisi yang diadakan setiap tahun.

"Antara syarat utama yang dikenakan adalah berumur 18 tahun ke atas, 1 cawangan 1 pasukan dan paling penting wajib menutup aurat dan alhamdulillah setakat ini kita menerima maklum balas positif daripada kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita.

Menurut Mohd Ariffin, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala dan medal, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga dan keempat RM500 serta medal.

"Harapan saya agar kejohanan ini akan berlangsung dengan lancar dan tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini," ujarnya.

Sementara itu, salah seorang pengurus pasukan, Muhammad Baihaqy Harun berkata, kejohanan tersebut amat wajar diadakan bahkan lebih besar pada masa akan datang.

"Pertandingan seperti wajar diadakan demi mencungkil bakat-bakat muda bagi mewakili negeri.

"Kita sedia maklum bahawa Negeri Terengganu sentiasa melahirkan bakat-bakat baru sehingga mewakili negara," ujarnya.

Sepak mula kejohanan akan disempurnakan oleh ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat.

 


Tag: