• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

160 Peruncit Terpilih Sedia Bekalan Musim Tengkujuh

KUALA TERENGGANU, 15 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melantik peruncit dan pemborong terpilih sebagai pusat penyimpanan stok bekalan tambahan bagi menghadapi musim tengkujuh yang bakal tiba.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato' Rosol Wahid memaklumkan, langkah itu sebagai persediaan menghadapi bencana banjir yang dijangkakan bermula pada November ini.

"Rakyat tidak perlu bimbang akan musim tengkujuh yang akan berlaku terutama di pantai timur. Bukan KPDNHEP sahaja semua pihak dalam keadaan siap sedia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat-pejabat daerah dan negeri-negeri telah bersedia.


"Kita telah melantik peruncit dan pemborong daerah terpilih yang akan menyediakan stok barang melebihi 30 peratus daripada stok biasa. Di Terengganu sahaja, sebanyak 160 peruncit dan 74 pemborong telah dilantik dan ini memberi keyakinan kepada rakyat dengan  keberadaan barang keperluan dan pengguna tidak perlu risau dengan kenaikan harga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita slepas melakukan tinjauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali 2020 di Mydin Gong Badak, hari ini.

Tambahnya, dalam skim kawalan bermula 9 November sehingga 17 November itu, sebanyak 26 kes tidak patuh SHMMP telah direkodkan.

"Sebanyak 24 kes tidak memaparkan tanda harga dan dua kes menjual barang melebihi harga kawalan dan KPDNHEP telah mengeluarkan kompaun bernilai RM5,847," katanya.

Dalam SHMMP 2020,KPDNHEP telah menetapkan harga maksimum bagi 20 jenis barang keperluan harian  sepanjang perayaan Deepavali termasuk dua barangan baharu iaitu timun dan kacang panjang.

Sepanjang dilaksanakan, penguatkuasa kementerian telah melakukan pemantauan ke lebib 8,300 premis untuk pematuhan harga di seluruh negara.

 

 


Tag: