• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

17 Ribu Penduduk Terlibat PKPD Mukim Kuala Berang

HULU TERENGGANU, 28 Mei - Hampir 17 ribu penduduk Mukim Kuala Berang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) yang akan bermula 29 Mei hingga 11 Jun sebagaimana pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ia melibatkan 3,500 buah rumah meliputi kawsan seluas 7,000 hektar persegi.

Katanya, pihak polis akan mengadakan sekatan-sekatan dan aktiviti pemantauan di kawasan PKPD bagi memastikan semua keluarga dan penduduk terlibat di kesemua 23 lokaliti mematuhi SOP yang ditetapkan.

Justeru itu, seramai 80 anggota melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) telah mengaturkan perancangan untuk melaksanakan sekatan-sekatan jalan raya (SJR) di laluan-laluan utama,  jalan kampung dan jalan tikus.

" Bagi jalan utama yang merupakan laluan utama keluar masuk ke mukim Kuala Berang, kita laksanakan lima SJR secara 24 jam.

"Ini termasuk empat jalan kampung dan jalan tikus yang telah dikenalpasti untuk kita adakan sekatan secara kekal," ujarnya ketika membuat tinjauan pemasangan SJR di Bandar Kuala Berang, hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Adli berkata sekiranya ada penduduk luar mukim yang ingin memasuki ke kawasan PKPD atas urusan 'essential' seperti kesihatan, farmasi dan lain-lain, mereka perlu mendaftar di sekatan SJR laluan pintu masuk yang berkaitan.

"Apa yang perlu dilakukan adalah dengan menulis nama, nombor kad pengenalan dan tujuan ke mana.

"Semasa hendak keluar, kena kemukakan bukti contohnya My Sejahtera jika ke bank, farmasi dan resit-resit pembelian yang berkaitan dengan aktiviti yang telah dilakukan," jelas beliau.

Tambahnya lagi, jika mereka gagal menunjukkan bukti, ia bermakna telah berlaku penipuan dan telah melanggar syarat PKPD.

"Maka tindakan saman atau kompaun akan diambil terhadap mereka yang lakukan kesalahan tersebut," ujarnya.


Tag: