173 Nelayan Rhu Rendang Terima Sumbangan TDM Berhad
Oleh : Muhammad Hibatul Jihadi Mad Daud
MARANG, 11 Februari – Seramai 173 nelayan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menerima sumbangan TDM Berhad dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Pejabat DUN terbabit, semalam.
Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, majoriti penduduk di DUN berkenaan sememangnya bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber utama pendapatan sejak dahulu hingga kini.
“Kebiasaan apabila tiba musim tengkujuh, para nelayan tidak dapat menjalankan aktiviti di laut kerana keadaan cuaca yang tidak sesuai.
“Angin kencang dan ombak besar menyukarkan mereka untuk turun ke laut terutama yang menggunakan bot kecil,” ujarnya kepada pemberita selepas selesai program tersebut.
Katanya, pihaknya sentiasa mengambil cakna terhadap isu ini dan berusaha membantu golongan nelayan yang terjejas.
“Dalam hal ini, TDM Berhad memainkan peranan penting sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat di negeri ini.
“Selain menjana ekonomi negeri, TDM Berhad turut memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan sosial.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan tertinggi TDM serta seluruh staf dan kakitangannya atas usaha murni ini,” ujar beliau.