173.5kg Sampah Monsun Dikutip Di Pantai Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 9 Februari - Pemandangan indah Pantai Batu Buruk kini kembali setelah program gotong-royong mega anjuran Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan Negeri Perak (JkPTG) bersama Geng Plastik Ija (GPI) berjaya mengumpul 173.5kg sampah bawaan Monsun Timur Laut (MTL). 

Program yang berlangsung berhampiran KTCC ini menyaksikan penglibatan aktif 75 sukarelawan, terdiri daripada 60 kakitangan JkPTG dan 15 ahli GPI.

Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perak, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman menjelaskan bahawa program CSR ini merupakan sebahagian daripada kursus keselamatan dan pelindungan di DSH Batu Burok Beach Resort. 

"Kami seramai 60 orang telah bekerjasama dengan Geng Plastik Ija untuk membersihkan pantai daripada sampah bawaan monsun dan sisa buangan manusia," jelasnya.

Dalam tinjauan di lokasi, beliau melahirkan rasa kagum dengan perubahan sikap masyarakat setempat. 

"Saya dapat lihat perubahan yang ketara dalam kesedaran masyarakat Terengganu," ujar beliau dengan yakin.

Tambah beliau, hasil pemantauan berkala di kawasan pantai menunjukkan impak positif daripada usaha berterusan pihak GPI. 

"Jumlah sampah di pantai kini jauh berkurangan berbanding dahulu, hasil promosi berterusan oleh Geng Plastik Ija," katanya.

Raja Kamariah juga menekankan kepentingan memelihara keindahan pantai untuk generasi akan datang. "Pantai adalah khazanah yang kita pinjam daripada generasi akan datang.

"Saya menyeru semua pengunjung pantai di Terengganu dan di seluruh Malaysia agar sama-sama menjaga keindahan warisan ini," ujarnya.


Tag: