• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

18 Nelayan Ceroboh Perairan Terengganu Ditahan

KUALA TERENGGANU, 20 September - Jabatan Perikanan Terengganu berjaya menahan 18 nelayan berpengkalan di Pahang kerana melanggar syarat lesen apabila menceroboh Pantai Merchang bagi melakukan aktiviti penangkapan hasil laut.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata 16 daripada nelayan berkenaan merupakan warga Myanmar yang didapati tiada permit dan dua daripadanya merupakan warga tempatan.

Tegasnya, kesemua nelayan yang ditahan itu akan diambil tindakan lanjut melalui siasatan mengikut undang-undang terhadap empat vesel zon C pukat tunda.

"Kita telah bertindak atas aduan yang diterima daripada nelayan berkait isu pencerobohan ini  kemudiann kita mengadakan tindakan penguatkuasaan melalui cawangan konservasi dan perlindungan perikanan  hasil daripada penguatkuasaan yang telah kita kita lakukan pada jam 12 malam tadi.

"Kita telah menyita sebanyak lapan tan hasil laut yang bernilai kira-kira RM40,000 dan jenis kesalahan didakwa (disiasat) mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu mengkap ikan kurang daripada 12 batu nautika.

"Kedua, mengikut Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 bersalah kerana menangkap ikan kurang dari dari 12 batu nautika dari perairan negeri lain serta dibawah seksyen yang sama kerana melakukan kesalah menggunakan kru asing tanpa kebenaran ketua Pengarah Perikanan Malaysia,"ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pemberita di sidang medianya mengenai kejayaan menahan empat buah vesel tempatan negeri pahang itu, di Jeti Nelayan Pulau Duyong, di sini semalam.

Tambah beliau, antara lain kesalahan dilakukan nelayan terbabit ialah turut melanggar akta perikanan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Kawasan Larangan) (Rantau Abang 1991).

"Kesemua mereka ini ditahan di perairan Rantau Abang kira-kira enam hingga lapan batu nautika daripada pantai dan ini merupakan kes yang ke-38 yang telah melanggar Akta Perikanan 1985 yang dikendalikan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu.

"Ketika operasi dijalankan tidak hadapi apa-apa masalah cuma didapati satu bot pernah melakukan kesalahan yang sama sebelum ini, dimana kes ini jika berulang lagi boleh dibawa ke mahkamah untuk menentukan tindakan yang lebih berat dan tegas terhadap pemilik dan juga kru,"katanya.

Tegasnya lagi, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak sama ada vesel kelas c dimiliki oleh nelayan tempatan atau asing yang menceroboh perairan Terengganu demi kepentingan 6,000 nelayan Terengganu.

"Seboleh-bolehnya kita akan cuba melindungi perairan negeri ini dari dicerobohi, demi untuk dimanfaatkan oleh nelayan kita, dimana selama ini kita telah berusaha memperkayakan sumber dengan melabuhkan unjam dan tukun-tukun yang telah dilaburkan bagi menambah stok ikan di perairan negeri ini," ujarnya lagi.