• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

18 Tahun Tertangguh, Akhirnya 134 Terima Hak Milik Dan Borang 5A Tanah Terkilan Gong Cempedak - MB Terengganu

MARANG, 22 Julai - Seramai kira-kira 134 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 84 penerima hak milik tanah dan 50 penerima Borang 5A untuk RTB Gong Cempedak setelah proses penyerahan hak milik RTB itu tertangguh hampir 18 tahun lamanya.

"Tanah berkelompok ini adalah tanah terkilan mukim Pulau Kerengga yang telah pun diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 2002 dan proses penyerahan hak milik RTB ini tertangguh hampir 18 tahun lamanya.

"Alhamdulillah, pada hari yang bersejarah ini, kita telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmi dan menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut menjelaskan, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat.

"Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah. Akan tetapi, saya juga harap yang tuan-tuan dan puan-puan semua memahami satu perkara.

"Iaitu, semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. Bukan sahaja di Terengganu, tetapi di mana-mana sahaja di seluruh negara.

"Ia sememangnya memakan masa dan harus diuruskan dengan berhati-hati dan teliti mengikut Kanun Tanah Negara (KTN)," katanya.

Justeru, beliau amat berterima kasih kepada semua permohon yang sentiasa bersabar dan memahami komitmen semua pihak dalam usaha menyelesaikan perkara berkenaan.