• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

19 Pelajar Cemerlang Berangkat Ke Algeria

SEPANG, 20 Oktober - Seramai 19 pelajar iaitu 12 lelaki dan tujuh perempuan telah berangkat ke Algeria bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, tawaran itu adalah hasil kunjungan pihak kerajaan negeri Terengganu bersama kementerian ke Algeria pada pertengahan Mac lalu.

"Alhamdulillah, tahun lepas kita dapat kuota 10 orang pelajar tetapi tahun ini, kita dapat penambahan kuota pelajar hingga ke 20 orang."

"InsyaAllah, kita akan manfaatkan kesempatan yang diberikan oleh pihak mereka untuk mencari ilmu lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Pelajar ke Algeria Tahun 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) Lothman Awang. 

Mengulas lanjut katanya, para pelajar juga menerima wang saku daripada Yayasan Terengganu sebanyak RM10,000 seorang setiap tahun.

"Sebelum ini, pelajar perlu menanggung sendiri kos untuk belajar di luar negara, alhamdulillah, selepas kita ambil alih, kita telah keluarkan peruntukkan biasiswa dan pinjaman boleh ubah untuk memastikan pelajar kita dapat melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi." jelasnya. 

Terdahulu, 10 orang pelajar telah melanjutkan pengajian di sini iaitu lima orang di Universiti Emir Abdel Qader dan bakinya di Universiti Algiers.


Tag: