• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

196 MOSWAY Kijal Terima Manfaat

KEMAMAN, 13 November - Seramai 196 orang golongan miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), sakit, warga emas, 'armalah' dan anak yatim (MOSWAY) telah menerima sumbangan sepanjang tahun ini.

Selain daripada barangan dapur, mereka juga menerima bantuan wang tunai di mana sebanyak kira-kira RM30 ribu telah dibelanjakan bagi tujuan itu.

Junainah Rahmatullah.

Pembantu Penyelia Hal Ehwal Wanita Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kijal, Junainah Rahmatullah berkata, jumlah tersebut tidak termasuk dalam tempoh tiga bulan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.

"Sepatutnya ramai lagi yang menerima manfaat ini, tetapi disebabkan oleh PKP yang dikenakan baru-baru ini di mana pergerakan kami agak terbantut maka jumlahnya tidak mencapai apa yang kami sasarkan.

"Sasaran kami adalah seramai 10 hingga 15 orang dalam tempoh satu minggu pada setiap bulan mengikut jadual yang telah disediakan," katanya.

Junainah yang ditemubual oleh pemberita di pejabatnya di Bukit Kuang kelmarin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu menjayakan aktiviti yang mulia itu.

Menziarahi golongan MOSWAY.

"Saya sebagai wakil daripada pejabat i-MiTS mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama teman sepejabat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung yang banyak membantu dalam aktiviti ziarah ini serta kerjasama daripada keluarga penerima.

"Insya-Allah kerja ini akan diteruskan lagi dengan penambahbaikan pada masa akan datang untuk masyarakat Kijal. Ada yang masih memerlukan bantuan dalam meneruskan kelangsungan hidup ini dan semoga usaha ini diberkati Allah," ujarnya.


Tag: